Sunday, May 22, 2011

Ragam manusia

Salam buat semua.

Minggu ini ramailah ibubapa yang bekerja mengambil cuti untuk menghantar anak-anak mendaftar di IPTA yang banyaknya seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Setiap tahun ribuan pelajar diterima memasuki IPTA. Satu pengalaman baru bagi mereka yang kini berstatus siswa. Mereka sekarang amat bertuah. Peluang terbuka luas untuk mereka melanjutkan pengajian di menara gading. Yang tak mampu, bantuan kewangan di sediakan oleh kerajaan. Bayangkan, setiap pelajar mendapat wang bantuan samada biasiswa penuh atau pinjaman. Zaman aku dahulu jangan mimpilah nak masuk U kalau tak ada biasiswa. Kalau ibu bapa mampu adalah peluang masuk U. Kalau tidak terpaksalah cari kerja. Yang dapat biasiswa pulak samada biasiswa negeri atau persekutuan terpaksa menunggu berbulan-bulan baru terima biasiswa. Maknanya bila mendaftar pakai biasiswa 'FAMA' (duit mak ayah) dululah. Bila dapat tahu saja biasiswa dah keluar berduyun-duyunlah siswa ke bank untuk mengluarkan duit masing-masing.
Sebut tentang pelajar masuk IPTA ini aku nak cerita sikitlah kenangan pahit manis sewaktu bekerja dahulu.


1. Seorang ayah (bekas tentera) datang bertemu dengan aku semasa Majlis Konvokesyen anaknya semata-mata untuk mengucapkan terima kasih pada aku kerana memberi peluang anaknya melanjutkan pengajian hingga berjaya mendapat diploma. Tidak lama kemudian aku terima suratnya yang sekali lagi mengandungi ucapan terima kasihnya yang tak terhingga dan dia sangat bangga dengan kejayaan anaknya itu. Tidak lama kemudian aku terima panggilan telefon dari anaknya yang memberitahu bahawa dia sudah dapat kerja dan orang yang paling gembira ialah ayahnya.

2. Seorang ibu datang berjumpa aku merayu supaya anaknya tidak di hantar belajar ke kampus cawangan Alasan yang diberi amat menjengkelkan aku. Kalau sebab-sebab kesihatan yang berat boleh aku terima dan pertimbangkan tetapi alasannya tempat itu jauh dan memerlukan wang yang banyak. . Dia beriya-iya meminta supaya anaknya di tempatkan di kampus induk kononnya dia tidak pernah berpisah jauh dengan anaknya. Aku hilang sabar. Akhirnya aku berkata, : Kalau ada kampus cawangan di London dan anak puan dihantar ke sana pasti puan tidaka akan merayu. Betul tak?" Ibu itu terdiam.

3. Seorang ibu yang mempunyai anak perempuan kembar merayu supaya anaknya di tempatkan di kampus yang sama. Masalahnya bila surat tawaran dikeluarkan komputer tak boleh baca yang mereka adalah kembar. Kursus yang dipohon pun tidak sama. Alasan yang diberi kerana mereka beradik kembar tidak pernah berpisah. Apa-apa yang dibuat semua besama termasuklah belajar bersama. Aku tak boleh terima alasan itu. Sekarang mereka telah menjadi siswa bukan pelajar sekolah lagi. Perlulah belajar berdikari. Ibu ini beriya-iya minta aku jangan pisahkan anaknya kerana alasan mereka kembar. Akhirnya aku memberitahu ibu itu supaya jangan sekali-kali mengahwinkan anak kembarnya itu kerana mereka tak boleh berpisah.

4. Beberapa hari sebelum majlis konvokesyen bakal graduan perlu mengambil jubah mereka. Bakal graduan terpaksa beratur dam memakan masa sedikit untuk mendapatkan jubah mereka.
Tiba-tiba datang seorang bakal graduan menghampiri staf yang bertugas dan suara kasar memberitahu siapa dia dan dia tidak boleh tunggu lama. Staf bertugas serba salah kerana dia tidak mengikut barisan. Aku yang sedang memerhatikan perjalanan urusan pengambilan jubah itu menghampiri bakal graduan itu dan memohon supaya dia beratur. Dengan angkuh dia mengulangi siapa diri dia. Aku dengan selamba berkata di tempat dia bekerja dia memang ketua tetapi di sini dia adalah seorang bakal graduan dan diberi layanan yang sama rata seperti bakal graduan yang lain.

5. Anak seorang VIP telah memohon masuk untuk belajar. Aku pening kepala sebab ramai yang mengaku mereka diarah oleh bos mereka untuk megambil surat tawaran kemasukan anak VIP itu. (Ramai sungguh orang yang nak bodek VIP ini)Tiap-tiap hari mereka menunggu untuk mengambil surat itu.PA aku serba salah. Kepada siapa surat itu harus diberikan. Aku berbisik pada PA aku "katakan saja surat itu sudah terpos kepada pemohon.' Akhirnya tiada seorang pun yang dapat surat itu. Aku ada cara tersendiri bagaimana untuk menyampaikan surat anak VIP itu.

1 comment: