Sunday, May 22, 2011

Ragam manusia

Salam buat semua.

Minggu ini ramailah ibubapa yang bekerja mengambil cuti untuk menghantar anak-anak mendaftar di IPTA yang banyaknya seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Setiap tahun ribuan pelajar diterima memasuki IPTA. Satu pengalaman baru bagi mereka yang kini berstatus siswa. Mereka sekarang amat bertuah. Peluang terbuka luas untuk mereka melanjutkan pengajian di menara gading. Yang tak mampu, bantuan kewangan di sediakan oleh kerajaan. Bayangkan, setiap pelajar mendapat wang bantuan samada biasiswa penuh atau pinjaman. Zaman aku dahulu jangan mimpilah nak masuk U kalau tak ada biasiswa. Kalau ibu bapa mampu adalah peluang masuk U. Kalau tidak terpaksalah cari kerja. Yang dapat biasiswa pulak samada biasiswa negeri atau persekutuan terpaksa menunggu berbulan-bulan baru terima biasiswa. Maknanya bila mendaftar pakai biasiswa 'FAMA' (duit mak ayah) dululah. Bila dapat tahu saja biasiswa dah keluar berduyun-duyunlah siswa ke bank untuk mengluarkan duit masing-masing.
Sebut tentang pelajar masuk IPTA ini aku nak cerita sikitlah kenangan pahit manis sewaktu bekerja dahulu.


1. Seorang ayah (bekas tentera) datang bertemu dengan aku semasa Majlis Konvokesyen anaknya semata-mata untuk mengucapkan terima kasih pada aku kerana memberi peluang anaknya melanjutkan pengajian hingga berjaya mendapat diploma. Tidak lama kemudian aku terima suratnya yang sekali lagi mengandungi ucapan terima kasihnya yang tak terhingga dan dia sangat bangga dengan kejayaan anaknya itu. Tidak lama kemudian aku terima panggilan telefon dari anaknya yang memberitahu bahawa dia sudah dapat kerja dan orang yang paling gembira ialah ayahnya.

2. Seorang ibu datang berjumpa aku merayu supaya anaknya tidak di hantar belajar ke kampus cawangan Alasan yang diberi amat menjengkelkan aku. Kalau sebab-sebab kesihatan yang berat boleh aku terima dan pertimbangkan tetapi alasannya tempat itu jauh dan memerlukan wang yang banyak. . Dia beriya-iya meminta supaya anaknya di tempatkan di kampus induk kononnya dia tidak pernah berpisah jauh dengan anaknya. Aku hilang sabar. Akhirnya aku berkata, : Kalau ada kampus cawangan di London dan anak puan dihantar ke sana pasti puan tidaka akan merayu. Betul tak?" Ibu itu terdiam.

3. Seorang ibu yang mempunyai anak perempuan kembar merayu supaya anaknya di tempatkan di kampus yang sama. Masalahnya bila surat tawaran dikeluarkan komputer tak boleh baca yang mereka adalah kembar. Kursus yang dipohon pun tidak sama. Alasan yang diberi kerana mereka beradik kembar tidak pernah berpisah. Apa-apa yang dibuat semua besama termasuklah belajar bersama. Aku tak boleh terima alasan itu. Sekarang mereka telah menjadi siswa bukan pelajar sekolah lagi. Perlulah belajar berdikari. Ibu ini beriya-iya minta aku jangan pisahkan anaknya kerana alasan mereka kembar. Akhirnya aku memberitahu ibu itu supaya jangan sekali-kali mengahwinkan anak kembarnya itu kerana mereka tak boleh berpisah.

4. Beberapa hari sebelum majlis konvokesyen bakal graduan perlu mengambil jubah mereka. Bakal graduan terpaksa beratur dam memakan masa sedikit untuk mendapatkan jubah mereka.
Tiba-tiba datang seorang bakal graduan menghampiri staf yang bertugas dan suara kasar memberitahu siapa dia dan dia tidak boleh tunggu lama. Staf bertugas serba salah kerana dia tidak mengikut barisan. Aku yang sedang memerhatikan perjalanan urusan pengambilan jubah itu menghampiri bakal graduan itu dan memohon supaya dia beratur. Dengan angkuh dia mengulangi siapa diri dia. Aku dengan selamba berkata di tempat dia bekerja dia memang ketua tetapi di sini dia adalah seorang bakal graduan dan diberi layanan yang sama rata seperti bakal graduan yang lain.

5. Anak seorang VIP telah memohon masuk untuk belajar. Aku pening kepala sebab ramai yang mengaku mereka diarah oleh bos mereka untuk megambil surat tawaran kemasukan anak VIP itu. (Ramai sungguh orang yang nak bodek VIP ini)Tiap-tiap hari mereka menunggu untuk mengambil surat itu.PA aku serba salah. Kepada siapa surat itu harus diberikan. Aku berbisik pada PA aku "katakan saja surat itu sudah terpos kepada pemohon.' Akhirnya tiada seorang pun yang dapat surat itu. Aku ada cara tersendiri bagaimana untuk menyampaikan surat anak VIP itu.

Friday, May 20, 2011

Selamat pagi Cikgu

Salam untuk semua.

Sambutan Hari Guru baru saja berlalu. Aku rasa para gurulah golongan yang paling bertuah dan istimewa. Apabila mereka tidak lagi mengajar atau pun telah bersara mereka tetap di panggil Cikgu. Tinggi sungguh penghormatan yang diberi kepada profesion guru ini.. Semasa aku di sekolah dahulu aku ada ramai guru. Diantaranya ada yang garang, ada yang lembut, ada yang kelakar, ada yang macam model (tiap-tiap hari memperagakan bajunya yang berbagai fesyen). Namun aku amat hormatkan mereka. Kerana merekalah aku berilmu dan menjadi orang yang pandai (walaupun aku tak pernah dapat nombor satu dalam kelas). Terima kasih Cikgu. Setelah tamat persekolahan aku tidak pernah lagi berjumpa dengan guru-guruku. Namun jasa mereka tetap aku kenang. Tetapi bertahun-tahun kemudian setelah aku bekerja tanpa di duga aku bertemu dengan salah seorang guruku. Ketika itu aku menghadiri kursus "Kaunseling Di tempat Kerja" disalah sebuah hotel di Kuala LUmpur. Salah seorang peserta kursus itu adalah guruku. Masa itu dia tidak mengajar lagi tetapi bertugas di Jabatan Pelajaran. Aku seronok dapat berjumpa semula dengan bekas guruku. Aku tetap memanggilnya Cikgu walaupun dia bukan seorang guru lagi. Selang beberapa tahun kemudian aku jumpa dia lagi. Kali ini di satu majlis perkahwinan anak sahabat ku dan dia adalah rakan sahabatku yang juga bekas guru. Aku bersalaman dengannya dan aku tetap memanggilnya Cikgu. Salam buat Cikgu. Semoga Cikgu bahagia selalu.

Tuesday, May 17, 2011

Belajarlah menghargai

Salam untuk semua. Hari ni hari cuti am. Kepada yang bekerja aku ucapkan selamat bercuti. Dah beberapa hari tak cerita sebab masalah teknikal, halaman blogger tak boleh diekses. Ni nak sambung balik cerita. Sudi-sudilah baca.

Dua hari sudah aku terbaca di akhbar luahan hati keluarga Allahyarham Pendita Za'ba. Akhbar melaporkan bahawa waris kecewa khazanah tinggalan pendeta tidak dihargai.Aku tak tahulah samada generasi sekarang kenal akan pendita Za'ba tetapi aku kenallah (bulan secara peribadi) melalui tulisannya. Masa zaman persekolahan dulu sering jugalah tenguk buku-buku tulisan beliau. Aku kira generasi kami ketika itu amat bangga dengan Pendita Za'ba.

Aku tidak mahu komen apa yang diluahkan oleh waris beliau dalam akhbar kerana tidak tahu apa sebenar yang terjadi. Tetapi aku nak sentuh sikit tentang sikap orang kita (tidak semua) yang agak sukar untuk memberi penghargaan kepada sesaorang atau pertubuhan atau organisasi yang telah banyak menabur bakti atau memberi sumbangan untuk ke arah kebaikan masyarakat atau negara. Berbeza dengan masyarakat barat. Mereka amat appreciative, mudah menghargai (samada ikhlas atau tidak itu lain cerita). Tetapi kita di sini nak ucapkan kata terima kasih pun susah seolah-olah mulut digam dengan superglue. Itu belum lagi bab memberi senyuman. Kedekut sangat dengan senyuman padahal memberi senyuman itu adalah ibadah.
Tentang hal menghargai ini aku ada dua cerita:

Cerita 1
Alkisah ada seorang insan (telah pun kembali ke Rahmatullah) telah membeli sebuah rumah teres dan beliau mendermakan rumah ini kepada satu pertubuhan untuk dimanfaatkan. Pembelian ini tidak diketahui oleh ahli keluarga Allahyarham sehinggalah kematiannya.Dia telah mewasiatkan supaya pembelian dan sumbangannya itu tidak diberitahu kepada sesiapa pun selagi dia masih hidup. Selepas kematiannya anaknya berusaha mencari rumah tersebut dan didapati rumah itu tidak diurus dengan baik walaupun ada penghuni (penyewa). Anak ini menghubungi pihak yang berkenaan (badan yang menerima /memiliki rumah itu sekadar ingin tahu bagaimana pengurusan terhadap harta memberian ayahnya itu. Sekiranya ada pendapatan yang diperolehi daripada harta itu bagaimana ianya diuruskan dan dimanfaatkan.Nyata dari maklumat yang diperolehi terdapat pengabaian dalam pengurusan rumah itu. Keluarga Allahyarham amat sedih seolah-olah sumbangan Allahyarham tidak dihargai. Tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana rumah itu telah didermakan dan hak milik adalah badan berkenaan.

Cerita 2

Ini cerita tentang sebuah masjid. Masjid ini banyak menerima sumbangan daripada ahli kariah dan dermawan selain daripada kutipan dari orang ramai setiap solat Jumaat. Dari sumbangan inilah pengurusan masjid dapat menyelenggara masjid untuk keselesaan jemaah. Di kalangan penyumbang terdapat beberapa penyumbang yang menyumbang setiap tahun kepada masjid ini. Pada suatu mesyuarat AJK Masjid, salah seorang AJK telah mencadangkan supaya diadakan majlis minum petang dan dijemput dermawan-dermawan yang telah memberi sumbangan sebagai menghargai sumbangan mereka. Tetapi cadangan ini tidak dipersetuju kerana alasan mereka yang menderma bukan masjid yang minta. Aduh! Sedihnya. Memanglah setiap orang yang memberi sumbangan tidak meminta balasan atau pun dihargai tetapi yang menerima sumbangan perlulah tahu bagaimana hendak menghargai pemberian. Agaknya masing-masing dah lupa peribahasa "Orang berbudi kita berbahasa." Kepada anak-anak ku diharap jangan sesekali lupa akan peribahasa ini. Belajarlah menghargai.

Wednesday, May 11, 2011

Pertemuan yang Indah

Salam ceria buat semua

Satu 'discovery' membuat aku gembira campur sedih dan terharu. Ketika mengemas bilik yang sentiasa kurang kemas aku terpandang beberapa foto album lama. Teragak pula hatiku untuk membuka album lama itu yang penuh dengan gambar masa aku ketika muda dahulu. Aku terpandang gambarku bersama seorang rakan . Di pejabat kami sangat rapat dan selalulah keluar outing bersama dengan kawan yang lain- pergi minum-minum, tenguk wayang dan shopping. Enjoy sangat. Maklumlah zaman muda. Tetapi selepas berkahwin kami jarang berjumpa kerana dia mengikuti suaminya bertugas di luar negara. Bila pulang bercuti dia tak lupa menghubungi aku dan bercerita tentang kehidupannya dan anak-anaknya. Namun usianya tidak panjang. Ketika menetap di Hong Kong kerana suaminya bertugas di sana dia telah kembali ke Rahmatullah. Aku dan rakan-rakan yang lain amat terkejut dan sedih dengan berita kematiannya. Aku dan rakan-rakan yang lain berada di airport menanti ketibaan jenazahnya. Aku telah kehilangan seorang kawan . Kawan yang sama-sama ketawa, berduka dan berkongsi masalah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Kelmarin ketika melayari internet (facebook) tanpa diduga terpapar gambar kawanku itu. Mula-mula aku ragu-ragu. Tetapi setelah ku amati betul-betul memang sah itu gambar kawanku yang baru saja ku tatap gambarnya dialbum lamaku. Subhanallah. Segala pujian-pujian untukNYA. Aku menghubungi nama yang tertera bersama gambar itu.Aku ingin kepastian. Rupanya aku berhubung dengan anak kawanku itu. Gembiranya hatiku tidak terkira. Kini aku menyambung semula hubungan silaturahim dengan kawanku melalu anaknya. Aku berharap persahabatan ini akan kekal ke akhir hayatku. Aku nukilkan suara hatiku buat mu .

Gerakmu lincah, Kata-katamu indah
Senyumanmu? Aduh! Membuat jejaka gelabah.
Kita sama-sama ketawa
Kita sama-sama gembira.
Melalui hari-hari yang indah.

Kini kau tiada lagi bersama
Hanya kenangan lalu mengusik jiwa
Tanpa diduga tanpa direncana
Aku menemui anakmu
Kini persahabatan kita terjalin semula

Tuesday, May 10, 2011

Hari yang Ceria

Salam untuk semua

Adakah anda ceria hari ini? Kalau tidak, cuba-cubalah ceriakan diri anda supaya hari ini menjadi lebih baik dari semalam..

Sebut pasal ceria saya ada cerita yang saya nak kongsi

Cerita 1

Alkisah beberapa tahun lalu aku dalam perjalanan ke tempat kerja melalui Batu Tiga, Shah Alam.Pagi itu I'm not in a good mood. Terlalu banyak masalah di tempat kerja dalam kepala aku. Aku agak stres Aku kira kebanyakan pekerja di tempat aku bekerja mengalami perasaan yang sama sebab tempat tu dah jadi 'madhouse'. Kami semua dah tak ceria. Sampai di Tol Batu Tiga kerana tak pakai Smart-tag atau Touch And Go aku pun masuk ke lorong Bayar Tunai. Seperti biasa aku menghulurkan jumlah wang untuk tol. Ketika menunggu palang dinaikkan kepala aku ni fikir macam-macam masalah tentang kerja kat ofis. Tiba-tiba aku tersentak apabila kerani tol ( lelaki)menegur aku dengan sopan "Terima kasih puan. Somoga Allah memberkati Puan." Aduh! Tersentuhnya hati aku. Selama ini tak pernah kerani tol bercakap dengan aku walaupun perkataan'terima kasih.'Dipendekkan cerita hari itu aku jadi seorang yang ceria. Aku bersemangat menjalankan tugas aku walaupun banyak masalah. Segala tugas dapat aku tangani dengan mudah. Semuanya hanya kerana seorang insan yang tahu bagaimana untuk menjaga pelanggannya dengan baik. Sejak hari itu apabila dia on duty saya sering mendapat sapaan mesra darinya. Saya sentiasa doakan agar Allah murahkan rezekinya.

Cerita 2

Suatu padi di hujung minggu saya naik LRT ke Wangsa Maju. Hari itu saya perlu menduduki ujian bagi satu kursus yang saya hadiri. Hari itu saya sedikit tertekan sebab dah lama tak duduki ujian( so don't take life so seriously).Sudah tentu saya nak buat yang terbaik. Kalau gagal malu jugalah rasanya. Jadi sepanjang perjalanan aku pun bacalah nota-nota ringkas yang telah aku sediakan untuk mengulangkaji. Tekun sungguh aku mengulangkaji hingga tak sedar seoang gadis India duduk sebelah ku. Ketika tren berhenti di KLCC sebelum gadis ini turun dia berkata pada aku, " Good luck in your exam". Rupa-rupanya selama dia di sebelah ku dia memerhatikan aku. Aku tersentak. Aku sempat melemparkan senyum dan mengucapkan terima kasih. Dalam hati aku berkata, " Whoever you are thank you so much. You make my day." Aku ambil ujian dengan perasaan ceria dan bersemangat. Alhamdillilah, aku lulus ujian dengan cemerlang.
Hidup konsep 1Malaysia.

The moral of these two stories? Fikir-fikir sendirilah, ya. Jumpa lagi di lain kali, Insyaallah.

Monday, May 9, 2011

Hari Yang Panas

Di hujung minggu ramai yang menghabiskan masa di luar rumah. Keadaan cuaca yang panas membuat kita semua tidak selesa berada di rumah. Kalau ada aircon pun sejuknya kurang terasa. Jadi ramailah yang ke pusat beli belah atau public pool untuk mengelakkan bahang panas di rumah. Tapi aku suka panas walaupun peluhku meleleh-meleleh. Memang sejak dulu lagi aku tak suka sejuk. Bila keluar peluh badan rasa segar. Satu lagi sebab aku suka panas pakaian yang dibasuh cepat kering, rumput di halaman pun lambat panjang. Aku tak kisah pokok bunga cepat layu sebab rumah aku tak ada pokok bunga. Tangan aku panas. Bila tanam bunga, bunga mesti mati. Tapi alhamdullillah pokok limau kasturi aku masih lagi hidup subur. Tak sabar nak tunggu ia berbuah. Aku tak lupa siram hari-hari. Aku tak mahu ia mati kekurangan air.

Yang buat akau risau musim panas ni ialah bila hujan di sebelah petang. Hujan dan kilat petir amat menggerunkan aku. Walau apa pun kita seharusnya bersyukur kerana Tuhan masih melindungi kita dari segala bencana alam. Jadi panas atau sejuk kita tak usah komplenlah. Bak kata seniwati Saadiah dalam filem Musang Berjanggut, "jangan takut pada panas."

Setakat ini dulu. Esuk kita cerita lagi.
Salam ceria semua. Jumpa saya nanti di sini, ya. Ikutilah cerita saya